Thursday 19 September 2013

MW & Rezeki

Bismillahhirrahmanirrahim...

Seperti biasa, team Mingguan Wanita (MW) mulai sibuk apabila Jumaat menjelang tiba. Maklum sahajalah, hari deadline. Masing-masing kelihatan tekun menyiapkan artikel yang masih 'tertunggak'. Dan hari ini juga kami akan menerima kunjungan email dari ketua bagi mengingatkan tentang 'deadline'. Lazimnya, bagi wartawan yang masih belum mempunyai 'bahan' untuk ditaip, keadaan mereka tak ubah seperti cacing kepanasan. Tetapi, kami tidak pernah membiarkan masalah tersebut ditanggung seorang diri. Oleh itu, siapa-siapa yang mempunyai lebihan 'bahan' untuk dijadikan 'stok' maka dialah yang akan menggantikan. Itulah semangat yang ada di team kami. Saling tolong-menolong bagi memastikan majlah disiapkan pada tarikh yang ditetapkan. Keutuhan hubungan ini membuatkan kami cukup rapat. Seutuh MW di hati masyarakat. Biarpun ada air mata yang terpaksa dititiskan kerana tekanan namun ia seakan terubat apabila melihat maklum balas positif dari para pembaca setia kami di luar sana.


Hakikatnya, bukan mudah untuk mendapatkan satu-satu bahan dalam tempoh waktu yang cukup singkat. Kami harus tebalkan muka, bertanya ke sini sana kalau-kalau ada 'contact' yang boleh diguna. Kadang-kadang ada juga yang bertanya, bagaimana kami boleh lakukan semua ini, lebih-lebih lagi apabila tiba minggu untuk 'advance isu'. Bila difikirkan kembali rasa memang ajaib. Tetapi, mungkin kerana kami bekerja dengan hati, menulis untuk memberi informasi maka Allah mudahkan segala urusan. Inilah yang kami panggil 'rezeki'. Menyebut perihal 'rezeki', ramai yang mengaitkannya dengan wang dan kekayaan sahaja. Sebenarnya, skop rezeki itu sendiri terlalu luas. Rezeki mendapat anak-anak yang soleh, rezeki dikelilingi raan-rakan yang baik, rezeki diberi rahmat kesihatan dan macam-macam lagi. Ada ketika, orang yang punyai banyak harta tetapi tidak direzekikan untuk mendapat cahaya mata. Sebab itulah kita perlu redha dan terima apa sahaja yang diberikan OlehNya.


Dari mata kasarnya mungkin kita membenci apa yang terjadi tetapi sebaliknya perkara yang dibenci itulah yang paling baik untuk kita lalui. Allah memberi hanya yang terbaik untuk hambaNya kerana Dia Maha Mengetahui. Justeru, bersyukurlah dan laksanakan amanah yang diberi sebaiknya. Oklah, saya hendak mula berkarya. Jumpa lagi di coretan akan datang.

No comments:

Post a Comment