Thursday 19 September 2013

Penangan The Little Red Cube


Bangunan merah yang menghantui anak-anak saya
 Bismillahhirrahmanirrahim...
Baru-baru ini saya diberi tugasan ke luar daerah oleh ketua. Pada mulanya agak keberatan memandangkan Imaan masih kecil dan perlukan perhatian. Tetapi, sebaik mendengar bahawa tugasan tersebut lebih kepada program yang santai dan boleh membawa ahli keluarga, secara automatiknya saya terus bersemangat. Segera email yang dilayangkan ketua saya buka. Oh...rupa-rupanya di bandar Nusajaya. Sekali lagi mata saya tertumpu di tulisan Little Red Cube. Rasa-rasanya, ia adalah sebuah taman tema tertutup yang baru di buka berhampiran taman tema Legoland. Malah, terdapat banyak ikon kartun yang hebat di dalamnya seperti Sanrio Hello Kitty, Barney, Bob The Builder, Thomas And Friends dan Pingu. Sekilas, wajah Insyira, Irfan dan Irdina menjengah ke ruang minda. Pasti seronok apabila berita ini sampai ke telinga mereka.


Bagi yang belum mengetahui mengenai The Little Red Cube ini, keluasannya adalah sekitar 4.2 ekar. Dikatakan, lebih 88 buah pusat membeli belah turut disediakan di dalamnya termasuklah tempat makan, pusat hiburan keluarga serta hotel. InsyaAllah, di entri berikutnya akan saya kongsikan lebih banyak cerita mengenainya. Setelah mengesahkan kehadiran kepada pihak penganjur, telefon bimbit ayah segera di hubungi. Tujuannya adalah untuk bercakap dengan Insyira mengenai perkara tersebut. Nyata, sangkaan saya tidak meleset. Suara yang kedengaran penuh dengan nada kegembiraan. Tatkala itu juga seulas senyuman terukir di bibir ini. Jauh di sudut hati, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Dutch Lady kerana membuka peluang seperti ini kepada media untuk bercuti dengan keluarga. Jika hendak dikira-kira, tak tahulah bila masanya untuk saya dan anak-anak akan sampai ke sana dek kerana kekangan masa. Di tambah pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sejakakhir-akhir ini membuatkan banyak pergerakan sedikit terbatas.


Boleh dikatakan sepanjang minggu tersebut, saya dihujani dengan bermacam pertanyaan oleh Insyira dan Irfan. "Bonda, hari ni Selasa kan, esok Rabu lepas tu Khamis lepas tu Jumaat. Yeyeye hari Sabtu kita pergi jumpa Hello Kitty!" Sorak Insyira dengan gembira. Begitu juga Irfan. Pelbagai janji manis di tabur kepada saya. "Bonda, Irfan nak 'behave'. Irfan tak nak nakal-nakal lagi. Nanti Barney tak nak kawan dengan Irfan." Saya hanya mampu tersenyum dan berdoa moga apa yang diucapkan menjadi kenyataan. Tak sangka sekuat ini penangan Little Red Cube. Mudah benar mengubah sikap si anak dari negatif ke positif. Harap-harap biarlah ia berterusan.

No comments:

Post a Comment